PGENS Buka Pejabat Informasi di Beaufort, Perluas Sokongan Kepada Usahawan Tempatan


←Back to UTAMA




Oleh: D. Nazri

BEAUFORT, 19 Julai – Pertubuhan Gagasan Ekonomi Negeri Sabah (PGENS) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasakan ekonomi rakyat dengan membuka pejabat informasi di One Beaufort, khusus bagi memberi khidmat kepada masyarakat di kawasan Parlimen Beaufort dan Sipitang.

Pengasas dan Presiden PGENS, Jismit Japong berkata, pejabat yang terletak di Lot 79 Blok K, Tingkat 1, One Beaufort itu berfungsi sebagai pusat sehenti untuk urusan keahlian, maklumat keusahawanan, latihan kemahiran serta penyelarasan program ekonomi bagi kawasan berkenaan.

“Penubuhan pejabat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PGENS untuk mendekati usahawan kecil dan sederhana serta komuniti peniaga setempat. Kita mahu mereka mendapat akses kepada maklumat, latihan dan peluang ekonomi yang boleh membantu menjana pendapatan secara mampan,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian, semalam.




Menurut beliau, pejabat berkenaan juga akan menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif PGENS termasuk kursus berdasarkan permintaan seperti jahitan, asas perniagaan, dan latihan kemahiran lain yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat.

“PGENS turut menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi menyalurkan bantuan berbentuk geran, latihan dan bimbingan teknikal,” jelasnya.

Setakat ini, PGENS telah mempunyai cawangan di Kudat, Tuaran, Kota Belud, Keningau dan Tenom, dan sedang merancang untuk membuka pejabat perhubungan di Putatan serta kawasan Pantai Timur seperti Batu Sapi dan Sandakan, tertakluk kepada kelulusan.

Dalam perkembangan sama, Jismit memaklumkan bahawa PGENS menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 3,000 ahli baharu di kawasan Beaufort dan Sipitang menjelang tahun depan.

“Keahlian terbuka kepada semua golongan dan kita galakkan peniaga kecil, belia serta komuniti luar bandar untuk menyertai. Tambahan pula, pendaftaran keahlian ditawarkan secara percuma sehingga April 2026,” katanya.

Beliau berkata, langkah ini dilihat mampu membuka lebih banyak ruang penyertaan dalam program pembangunan ekonomi yang bakal dilaksanakan di peringkat daerah dan negeri.

Majlis perasmian turut dihadiri barisan kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi PGENS dan ahli-ahli dari seluruh bahagian Parlimen Beaufort dan Sipitang.
 



←Back to UTAMA